Followers



Memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi : Mendesak Tindakan Segera Berhubung Isu-isu Mahasiswa

MEMORANDUM

MENDESAK TINDAKAN SEGERA BERHUBUNG ISU-ISU MAHASISWA

24 Januari 2011

Kepada:

YB Dato' Saifuddin Abdullah
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

 
HAK-HAK MAHASISWA


Pendahuluan

 
Sepanjang tahun 2010, kita telah melihat pelbagai kes pencabulan hak mahasiswa telah berlaku. Daripada isu pilihan raya kampus sehinggalah kepada kes berprofil tinggi melibatkan mahasiswa seperti kes UKM 4 dan "Rosmah Puaka" di UM. Selaku Mahasiswa, senario ini dilihat telah mencemar semangat demokrasi yang menjunjung hak dan peranan setiap warganegara khususnya mahasiswa untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara Malaysia yang kita cintai. Justeru memorandum ini adalah bertujuan menyatakan gesaan kami berhubung isu-isu mahasiswa yang tidak berkesudahan tanpa penyelesaian. Kami dengan ini menggesa agar isu-isu ini diambil perhatian dan diselesaikan.

  1. MENUNTUT PILIHANRAYA YANG BERSIH DAN TELUS
Kami wakil mahasiswa mendesak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pentadbiran universiti agar menganjurkan pilihanraya yang bersih dan telus. Melihatkan kepada objektif pilihan raya kampus itu sendiri yang sepatutnya menjadi medan dan peluang utama kepada mahasiswa berpartisipasi untuk membentuk kerajaan sendiri, namun hakikatnya ianya masih tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa. Masih terdapat aduan yang menunjukkan berlakunya ketidakadilan, penipuan dan salah guna kuasa berlaku di setiap universiti. Diantara isu-isu yang hendak kami kemukan adalah:

  1. Tarikh pilihanraya yang tidak seragan dan notis yang disembunyikan
Acapkali apabila tibanya pilihanraya kampus, mahasiswa dibiarkan di dalam keadaan keliru dan tertanya-tanya. Tarikh pilihanraya yang tidak diseragamkan di setiap universiti, notis pilihanraya yang terlalu sedikit dan ditampal di tempat-tempat yang tersembunyi sangat memberi masalah kepada mahasiswa yang berkeinginan untuk bertanding. Selain itu, situasi ini bertentangan dengan kewajipan pelajar menyertai dan mengundi di dalam pilihanraya kampus kerana informasi dan maklumat berkaitan pilihanraya tidak sampai kepada mahasiswa secara meluas. Pihak pentadbiran seakan-akan mahu menyekat penglibatan mahasiswa dan menyembunyikan informasi tentang pilhanraya kampus. Tindakan ini telah menyebabkan terdapat calon-calon, wakil-wakil calon lewat mengambil borang pencalonan dan ada yang terlepas peluang untuk bertanding.

  1. Kuasa autonomi menguruskan pilihanraya kampus 

    Proses pilihanraya bagi memilih kepimpinan mahasiswa sepatutnya diuruskan sendiri oleh mahasiswa tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak. Seperti autonomi yang diberikan kepada University Malaya Student Union (UMSU) pada era 60-an dahulu, mereka diberikan hak untuk menguruskan keseluruhan proses pilihanraya. Bermula dari penamaan calon, kempen, pengundian dan pengiraan undi pengendali utama adalah di kalangan mahasiswa melalui penubuhan suruhanjaya tersendiri.
Malangnya, kini hak autonomi mahasiswa dinafikan secara total. Mahasiswa tidak mempunyai Suruhanjaya Pilihanraya Kampus tersendiri. Suruhanjaya Pilihanraya Kampus adalah terdiri daripada badan Hal Ehwal Pelajar (HEP) tanpa sedikit pun mengambil kira pandangan mahasiswa yang merupakan kuasa utama kepada pilihanraya kampus.
 
Justeru, kami menyatakan pendirian kami untuk menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya memberikan autonomi kepada mahasiswa untuk mengurus pilihanraya kampus sendiri. Dengan ini kami menggesa;
  1. Mahasiswa menuntut autonomi ini dselaraskan diperingkat semua kampus, di mana semua universiti memberikan autonomi kepada mahasiswa dalam pengurusan pilihanraya.
  2. Mahasiswa menuntut penubuhan Suruhanjaya Pilihanraya Kampus yang terdiri daripada kalangan mahasiswa sendiri bagi mengurusakan proses pilihanraya.
  3. Mahasiswa menuntut agar dibawa masuk jawatankuasa pemantau seperti Pemantau Pilihanraya Bersih dan Adil (Mafrel) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diberi kebenaran dan kebebasan untuk menjadi pemerhati di dalam pilihanraya kampus agar ianya dapat berjalan secara telus tanpa korupsi dan sebarang penyelewengan.
Semoga kuasa autonomi ini menjanjikan pilihanraya kampus berdiri atas norma demokrasi yang bersih dan telus.

  2) Pelaksanaan 'appointed seat'.

    Isu appointed seat yang muncul di UIAM pada tahun ini merupakan hasil keputusan pihak pentadbiran adalah sangat mengecewakan kami. Appointed seat bukan sahaja menyalahi Artikel 9 dan Artikel 15(2) Perlembagaan Majlis Perwakilan Pelajar, malah ianya juga menyekat suara demokrasi. Selain itu, para pemimpin mahasiswa yang telah dipilih melalui proses pengundian lansung tidak diajak sama berbincang berkaitan isu ini dan tiada respon diberikan kepada surat-surat yang dihantar. Kami sama sekali tidak menafikan keperluan kepada kerusi-kerusi yang dilantik, tetapi kami berharap agar ianya dilakukan secara adil dan bersih melalui proses pengundian sebagaimana yang dilakukan kepada kerusi-kerusi lain bagi mengisi tampuk kepimpinan mahasiswa.
 
  1. MENANGANI GEJALA SOSIAL
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan merupakan penyumbang kepada masalah kebejatan akhlak dalam masyarakat Malaysia kini khususnya di kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT). Terdapat mahasiswa universiti dan kolej yang terlibat dengan perbuatan zina, kehamilan luar nikah dan penguguran bayi. Baru-baru ini pula, negara digemparkan dengan isu pelacuran dikalangan pelajar IPT.
 
Kami menggesa pihak universiti terutamanya bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), memainkan peranan yang sewajarnya dalam menangani gejala sosial di kalangan mahasiswa yang semakin membarah. Penguatkuasaan undang-undang sepatutnya bukan hanya melibatkan kesalahan-kesalahan sivil, tetapi juga perlu dikuatkuasakan kesalahan-kesalahan berkaitan akhlak. Percampuran bebas diantara lelaki dan perempuan, berdua-duan, membonceng motorsikal tanpa hubungan yang sah perlu dibendung sebelum parah. Selaku mahasiswa UIAM kami begitu menyokong misi dan visi penubuhan UIAM sebagai "Taman Ilmu dan Budi".

Kami menggesa pihak kerajaan untuk turut sama campur tangan dalam menangani hal ini. Gejala Hedonisme yang semakin berleluasa wajib dikawal. Selain daripada rancangan berbentuk reality TV, sejak dahulu lagi telah banyak rancangan televisyen yang betentangan dengan norma-norma masyarakat Malaysia telah disiarkan. Adegan berpelukan, berciuman dan pendedahan aurat yang melampau sememangnya telah menjadi menu khas setiap rancangan televisyen tanpa kawalan. Kemasukan artis-artis luar negara turut sama membawa budaya-budaya mereka yang sama sekali bercanggah dengan budaya kita sebagai orang timur.

  1. KEBAJIKAN MAHASISWA

    Menyentuh isu kebajkan mahasiswa, Kami menggesa kerajaan agar menumpukan isu kebajikan mahasiswa sebagai salah satu tanggungjawab kerajaan yang perlu diutamakan.
  1. Isu Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak diberikan kepada penuntut separuh masa, waktu kemasukan wang PTPTN yang tidak selaras bagi setiap tahun pengajian serta kemasukan wang PTPTN yang lewat hampir separuh semester menyulitkan para pelajar untuk menampung perbelanjaan kehidupan di kampus. Selain itu, kadar dan tempoh bayaran semula yang dikenakan juga dilihat membebankan.
     
  2. Kenaikan harga barang di peringkat nasional sangat memberi kesan kepada kenaikan harga makanan dan barangan keperluan di kampus. Hal ini ternyata sangat memberi kesan kepada mahasiswa yang sepatutnya memberi penumpuan kepada pengajian.
  3. Peruntukan kewangan yang diberikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar, kelab-kelab dan persatuan pelajar tidak mencukupi seterusnya merencatkan perancangan dan penglibatan mahasiswa dalam berorganisasi. Selain itu, bajet kewangan yang diagihkan kepada persatuan-persatuan juga tidak sesuai dengan fungsi dan bebanan tugas yang dipikul. Contoh yang ketara adalah peruntukan yang diberikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM dengan peruntukan sekitar RM 20 ribu sememangnya tidak mampu menampung pembiayaan aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh kepimpinan MPP tersebut.
  1. PARLIMEN MAHASISWA

    Kami menyambut baik cadangan penubuhan parlimen mahasiswa sebagai medan mahasiswa mengutarakan pandangan, cadangan penambahbaikan serta kritikan dalam membantu kerajaan kearah pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur, maju dan berkebajikan. Penubuhan parlimen mahasiswa di setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti yang dicetuskan telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak terutamanya daripada gerakan-gerakan mahasiswa yang memperjuangkan hak dan kebebasan mereka di kampus. Cadangan penubuhan parlimen mahasiswa ini sudah dipersetujui oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah. Namun besar harapan kami agar parlimen mahasiswa ditubuhkan atas ruh kebebasan berpandangan yang sebenar serta praktikal dari sudut perlaksanaannya. Justeru, kami menggesa kerajaan untuk memberikan autonomi kepada mahasiswa untuk mencorak bentuk parlimen mahasiswa yang diinginkan.

    Mahasiswa bangkit untuk menyatakan beberapa tuntutan berkaitan isu penubuhan parlimen mahasiswa iaitu:
     
    1. Perlunya pemansuhan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang dilihat bercanggah dengan penubuhan parlimen mahasiswa (ta'rifan parlimen itu sendiri merujuk kepada satu majlis yang mempunyai autoriti menggubal undang-undang)
    2. Sebarang penggubalan undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya mestilah dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ianya telah 'diharmonikan'.
    3. Sebarang kritikan, penambahbaikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus sebelum perkara ini diwartakan.
       
    Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik permulaan mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata.

     
    PENUTUP

    Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan wajah mahasiswa Malaysia selaku peneraju kepimpinan negara. Usaha yang gigih dari semua entii dalam masyarakat, baik di peringkat kerajaan, kementerian berwajib, pentadbiran universiti serta mahasiswa perlulah disatukan oleh setiap mereka yang terlibat demi melahirkan mahasiswa berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.

    Justeru, mahasiswa pada hari ini menggesa agar memorandum ini dapat diambil perhatian oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan tidak menolak mentah-mentah oleh kesemua ahli kabinet menteri yang diyakini mencintai rakyat dan meletakkan pembinaan mahasiswa sebagai perkara yang utama.


    "MAHASISWA CINTA MALAYSIA" 

0 comments:

Post a Comment