[1] Sedar atau pun tidak, kita kini sudah berada di penghujung bulan Rejab. Bulan yang padanya telah berlaku suatu peristiwa penting dalam sejarah umat Islam, yakni Isra’ dan Mikraj. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-11 selepas kenabian Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan bukti kukuh tentang keagungan dan kebesaran Allah SWT, dalam memperjalankan hambaNYA (Rasulullah SAW) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis di Palestin. Seterusnya, Rasulullah SAW telah di angkat ke langit untuk menghadap Allah SWT pada malam yang amat bersejarah itu. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNYA(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang KAMI berkati disekelilingnya, untuk memperlihatkan tanda-tanda(kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”
(al-Isra’: 1)
[2] Sesungguhnya peristiwa tersebut telah memberikan implikasi yang besar kepada keimanan dan keyakinan Umat Islam, terhadap kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW, melalui bukti Mukjizat akan Kekuasaan Allah SWT. Kesan daripada itu, berlaku penafian dan tempelakan daripada kalangan umat Islam yang masih nipis Imannya dan lebih-lebih lagi mereka yang masih dikabuti Samar jahiliyyah. Namun begitu, mereka yang utuh akan keimanannya, tetap mempercayai tentang kebenaran yang dituturkan melalui lidah suci Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, yakni orang yang pertama yang membenarkan peristiwa tersebut, sehingga beliau digelar sebagai “as-Siddiq” yang bermaksud “Orang Yang Benar”.
[3] Serangan Jahiliyyah Moden kini semakin menggila, sehingga amukan gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam pelbagai bentuk di Negara ini, menyebabkan kita sering hilang arah pedoman untuk mengatasinya. Saya yakin dan percaya bahawa sekiranya Umat Islam mampu meneladani akan peristiwa kebenaran Isra’ Mikraj, InsyaAllah kita mampu mengatasi segala kebejatan sosial dan kemungkaran berlaku di sekeliling kita. Sesungguhnya, peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNYA dengan mereka yang masih rapuh Imannya serta mereka masih berada dalam gelapnya kekufuran.
[4] Demi memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, marilah sama-sama kita saling mengingatkan agar kita melaksanakan segala tuntutan dan suruhanNYA, serta meninggalkan segala laranganNYA. Bagi mereka yang bergelut dalam kancah kemaksiatan, maka sedar dan insaflah serta kembalilah kepada jalan yang benar. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan cara hidup yang mendatang akan di naungi oleh Redha Allah SWT.
[5] Akhirul kalam, marilah sama-sama kita mahu dan mampu merenung Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 60, yang bermaksud:
“Dan Tiadalah KAMI menjadikan (pada malam Mikraj) yang telah KAMI perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia; dan(demikian juga kami jadikan) pokok yang yang di laknat di dalam al-Quran; dan KAMI beri mereka takut(dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak menambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau”
INFORMATION & MULTIMEDIA SECRETARIAT
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)
INFORMATION & MULTIMEDIA SECRETARIAT
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)